Sabtu, Februari 14, 2015

MSSDT : Atlet Sekolah sumbang 4 Pingat

Sukan MSSDT yang berlangsung pada 08-09 Februari di Kompleks Sukan Ranau baru-baru ini telah melibatkan 6 orang atlet daripada sekolah ini bagi mewakili Zon Tongod. Apapun, tiga daripada mereka pulang tanpa membawa pingat dan 3 orang lagi telah menyumbang pingat perak bagi pasukan Tongod. Elistina Jasmi muncul atlet pertama sekolah yang menyumbang pingat perak bagi acara lompat jauh dengan jarak lompatan sejauh 3.55 meter di belakang tempat pertama daripada Zon Penangah adik Nurul Shazwani dengan jarak lompatan sejauh 3.66 meter. Sementara Adik Evanasasah daripada Zon Sapi di tempat ketiga dengan jarak lompatan sejauh 3.51 meter.

Atlet kedua daripada sekolah ini Adik Jirol Jinal menyumbang pingat kedua dan ketiga buat pasukan setelah berjaya di tempat ketiga bagi acara Lompat Jauh. Jirol mencatatkan jarak lompatan sejauh 4.28 meter setelah ketinggalan di belakang naib johan daripada Zon Entilibon Adik Horward Russel dengan beza sejauh 0.16 meter. Sementara Juara Lompat Jauh dimenangi oleh Adik Kejialbie Jose daripada Zon Ulu Sapi dengan jarak lompatan sejauh 4.68 meter. Bagi Acara Lontar Peluru, Jirol berada di tempat kedua dengan jarak lontaran sejauh 8.02 meter di belakang pesaing sepasukan Adik Erwin Jasrin 8.27 meter. Sementara tempat ketiga adik Adam Hakimi daripada Zon Sapi dengan jarak lontaran sejauh 7.83 meter.

Adik Dix Sagitan muncul atlet ketiga sekolah yang berjaya menyumbang pingat buat pasukan setelah berjaya meninggalkan pesaingnya dalam acara 80 meter lari berpagar. Dix yang memulakan momentum larian dengan baik sehinggalah ke penamat berjaya mengatasi 6 orang pesaingnya sebelum muncul naib johan.

Tahniah diucapkan kepada semua pasukan terumatanya daripada Zon Telupid yang telah muncul juara dengan mengumpul 37 pingat emas keseluruhan. Tahniah diucapkan juga kepada penganjur kejohanan daripada Zon Tongod yang telah berusaha sebaik mungkin bagi menjayakan MSSDT pada tahun ini.

Untuk melihat lebih jelas acara balapan yang telah berlangsung, di sini kami ada sediakan link di bawah untuk sama-sama kita saksikan. Kami memohon maaf atas video yang kurang jelas. Untuk menyaksikan video yang lebih jelas, bolehlah mendapatkan salinan softcopy dalam bentuk DVD dengan harga RM10. (Hubungi Masru 014-8608242)


Adik Jirol (1 Perak, 1 Gangsa) dan Elistina (1 Perak)
 Dix dibelanja makan setelah berjaya mendapat tempat kedua acara 80M Lari Berpagar

 Ckg Masru dan Ckg Kamarudin sempat "berposing"

 En. Paulus Yapas (GB Sk.Kiandongo) hadir memberi semangat

YB Datuk Masiung Banah hadir merasmikan Kejohanan Sukan

Jumlah kutipan pingat keseluruhan bagi setiap Zon


Johan          - Zon Telupid     - 37 Emas
Naib Johan - Zon Penangah  - 15 Emas
Ketiga         - Zon Tongod     - 11 Emas
Keempat     - Zon Entilibon   - 8 Emas
Kelima       - Zon Sapi           - 7 Emas

klik Link di bawah untuk melihat video acara balapan:

Selasa, Januari 27, 2015

MSSDT : Bola Baling Lelaki MEMONTOL!

Kejohanan Bola Baling MSSD Tongod (Teupid) yang telah berlangsung pada 26 & 27 Januari baru-baru ini telah menghadiahkan pingat emas bagi pasukan sekolah. Setelah berlatih hampir 2 minggu di bawah jurulatih Ckg Stonny Anthony dan Ckg Jemsan Sakunding, akhirnya pasukan lelaki berjaya menewaskan Sk.Gabungan 6-0, dan Sk. Maliau 9-0 di peringkat kumpulan. Dalam peringkat separuh akhir, pasukan sekolah telah membelasah pasukan Sk.Mengkawago 5-1 sehingga melayakkan pasukan sekolah memasuki peringkat akhir menentang Sk. Pekan Telupid. Perlawanan mencatatkan jaringan 5-5 semasa di penghujung perlawanan. Adik Jirol Ginal muncul hero pasukan sekolah setelah menjaringkan gol kemenangan di minit terakhir perlawanan menjadikan keputusan 6-5. Inilah yang dikatakan oleh mereka Sk.Kiandongo "memontol"..

Pasukan perempuan juga "memontol" pada perlawanan pertama setelah menundukkan pasukan Sk.Gabungan 5-0. Namun, malang bagi nasib pasukan perempuan bilamana gagal menundukkan pasukan Sk.Mengkawago dengan kekalahan 1-3. "gol mudah" kata jurulatih sekolah Ckg Stonny. Keputusan perlawanan, Sk.Entilibon muncul juara setelah berjaya menundukkan pasukan Sk.Langkabong 2-1. Pasukan perempuan sekolah terpaksa balik awal setelah tersingkir di peringkat kumpulan. Tidak "memontol".. haha

Apapun, 3 orang daripada pasukan sekolah telah terpilih ke peringkat MSSB Sandakan. 2 orang lelaki iaitu Jirol Ginal dan Dix Sagitan. Sementara pasukan perempuan iaitu adik Elyana Maika . Tahniah kepada yang terpilih. Majulah sukan untuk sekolah dan daerah khususnya.

 Medal kemenangan pasukan lelaki


 Gambar pasukan lelaki

 Gambar pasukan lelaki bersama guru-guru (Jurulatih)


Gambar Pasukan Perempuan

Rabu, Januari 21, 2015

Kolaboratif Akademik UPSR : BERABIS 2015

Selamat datang diucapkan kepada pegawai "Mentor" bagi SK.Kiandongo dan SK. Imbak iaitu En. Soddiq dan En. Deraman. Satu pertemuan telah diadakan bertempat di Sk.Kiandongo. ini bertujuan membincangkan halatuju yang jelas dan tepat serta mempunyai sasaran yang munsabah (KPI dan Headcount).

Pada tahun ini, GPS sekolah diharap akan dapat mencatatkan penurunan positif ke arah 2.30 setelah sebelumnya (2014) mencatatkan 2.45. Hasil perbincangan menerangkan bahawa, penurunan GPS banyak dipengaruhi oleh pihak pentadbir sekolah sementara penurunan GPMP banyak dipengaruhi oleh peranan guru-guru matapelajaran.

Berikut merupakan KPI GPMP bagi setiap matapelajaran bagi tahun 2015.
BMK 2.10
BMP 1.41
BI      2.95
MT    2.55
SN     2.50

Kejayaan sekolah banyak bergantung pada tahap kesungguhan dan daya usaha daripada semua pihak khususnya guru dan murid. Jika tercapai KPI tersebut, maka sekolah akan melonjak ke "band 3'. Apapun, semoga program kolaboratif ini telah memberi sedikit suntikan semangat buat semua guru-guru matapelajaran khususnya untuk membuat yang terbaik bagi "kemenjadian" setiap murid. Bertemu di puncak kejayaan.


 En. Soddiq  dan En Deraman berkolaboratif dengan guru-guru matapelajaran daripada Sk.Kiandongo dan Sk.Imbak



Jumaat, Januari 16, 2015

Majlis Kesyukuran Bersama Bekas Murid Tahun 6

Pagi tadi telah berlangsung majlis kesyukuran bersama bekas murid-murid tahun 6 yang telah berjaya lulus dalam UPSR 2014 tahun lepas. Sebuah majlis yang agak sederhana ini telah diadakan khusus buat mereka di atas kejayaan yang dicipta.

"Satu pesanan saya, agar kamu menjaga diri kamu sewaktu berada di tingkatan. Jangan buat perkara yang tidak baik yang boleh mencemarkan maruah diri dan keluarga. Kejarlah cita-cita kamu walau setinggi manapun demi untuk mencipta kehidupan yang lebih cemerlang dan membalas jasa ibu bapa".

Ini merupakan amanat yang telah disampaikan oleh Guru besar En. Paulus Yapas dan Pn. Anitah Matni bekas guru kelas tahun 6. Ckg Anitah juga telah berjaya mencipta rekod yang tidak pernah berlaku di sekolah ini bilamana semua murid (17 orang) lulus 100% dalam Subjek Bahasa Melayu yang dia ajar. Semoga kejayaan seumpama ini akan dapat dirasai bersama oleh adik-adik mereka seluruh murid Sk. Kiandongo.
Ucapan amanat daripada bekas guru kelas tahun 6 Ckg Anitah Matni



Ckg Masru menyampaikan sedikit ganjaran kepada bekas murid-murid Pemulihan Khas Tegar yang kini mendapat lulus 100% dalam subjek Bahasa Melayu dan 7 orang daripada 9 yang lulus matematik.








Guru Besar mewakili Ckg Rashdan yang telah berpindah sekolah sempat menitipkan ganjaran buat Wellnie Matturis yang mendapat A dalam subjek matematik

 Ckg Aizuddin turut menyampaikan ganjaran kepada murid-murid yang lulus Subjek Sains

Sesi bergambar kenangan guru-guru dan KTBM bersama bekas murid-murid tahun 6
semoga bertemu di puncak kejayaan


Sedikit jamuan di akhir majlis

Program Transisi Murid Tahun 1

Hari ini masuk hari ke 5 program transisi murid tahun 1 berjalan. Tidak ada P&P. yang ada hanyalah orientasi. Membiasakan murid dengan persekitaran sekolah. Mengenali dan bermesra dengan rakan-rakan sekelas dan guru-guru. Mengetahui undang-undang dan peraturan sekolah serta banyak lagi.

Namun, objektif utama adalah mewujudkan rasa seronok berada di sekolah dan minat untuk belajar. Adalah menjadi harapan sekolah agar generasi ini kelak bakal mencipta sejarah kecemerlangan, bersahsiah dan berketerampilan mulia.

Tahniah diucapkan kepada Ckg Anitah Matni selaku setiausaha program yang banyak berusaha menjayakan program seumpama ini setiap tahun. Terima kasih di atas keterlibatan semua guru yang telah mengisi setiap slot yang diberikan.

 Hari pertama persekolahan



 Murid menonton kisah pelajar sekolah untuk berbincang perkara yang baik dan tidak baik di lakukan


 Murid belajar sambil bermain permainan meniru gaya binatang
yang dikendalikan oleh Ckg Masru


Khamis, Januari 15, 2015

Kunjungan Ke Rumah Stonny

Kelmaril (Rabu, 14 Jan 2015), sebahagian daripada kakitangan sekolah telah berkunjung ke rumah Ckg Stonny Anthony  yang sedang berkabung akibat kematian adiknya. Adik beliau yang bernama Eroney Anthony dikatakan meninggal dunia dalam bilik tanpa disedari ahli keluarga. Mungkin beberapa jam kemudian barulah disedari adiknya telah pergi buat selamanya.

Adik beliau yang juga merupakan Ahli Kelab Pengakap Telupid merupakan seorang yang periang dan peramah. Pemergian mendiang sudah pasti meninggalkan kesan mendalam terutamanya bagi pihak keluarga. Sebagai rakan sekerja abang mendiang, seluruh warga sekolah turut berkongsi sedih di atas berita menyedihkan ini.

Gambar kakitangan guru-guru bersama Ckg Stonny

Guru Besar memberikan sedikit sumbangan yang dikutip melalui kelab guru

Gambar mendiang dalam kenangan
Sumber : TOTE - Pengakap Tongod Telupid


Isnin, Disember 01, 2014

UPSR 2014 MENUNJUKKAN PENINGKATAN

Keputusan Peperiksaan UPSR 2014 yang telah diumumkan pada baru-baru ini menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Buat pertama kalinya dalam sejarah, seluruh murid sekolah ini telah lulus 100% dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (Pemahaman dan Penulisan). Namun, yang paling membanggakan, BM Penulisan yang telah berjaya berada di kedudukan yang terbaik bagi keseluruhan Daerah Tongod sekaligus menempatkan SK Kiandongo berada di kedudukan teratas bagi mata pelajaran tersebut buat julung kalinya.



 Keputusan UPSR Setiap Murid

 SK.Kiandongo berada di kedudukan ke-7 Daerah

 Kedudukan BMP di tempat pertama







Sk.Kiandongo menduduki tempat ke 7 berdasarkan GPS sekolah dan berada di kedudukan ke 5 berdasarkan peningkatan GPS sekolah pada tahun 2014.

Sekolah juga merakamkan ucapan tahniah kepada saudari Wellnie Matturis yang berjaya memperolehi 3A 2B dalam peperiksaan yang diambil.

Secara keseluruhannya, sekolah telah mencatatkan keputusan yang cukup membanggakan apabila setiap mata pelajaran berada di kedudukan 10 Terbaik dalam daerah ini. Ini merupakan satu kebanggaan yang perlu disyukuri. Di sini juga, pihak sekolah mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada 3 buah sekolah yang berjaya menempatkan diri di kedudukan 3 Terbaik daerah iaitu SK Kiabau, SK Kopuron dan SK Ansuan. Sudah pasti ada resepi kecemerlangan yang mungkin boleh dikongsi bersama. Selain itu, SK.Kenang-Kenangan berjaya muncul sekolah terbaik dalam Zon Tongod walaupun kurang melibatkan diri dalam bidang sukan, namun telah menunjukkan prestasi akademik yang sangat baik.

Tahniah kepada semua sekolah yang cemelang. Semoga kecemerlangan ini berterusan demi mengangkat martabat pendidikan Negeri Sabah amnya dan Tongod khususnya.