Jumaat, Disember 17, 2010

SK Kiandongo Kejutkan TABS KK



Pasukan Futsal SK Kiandongo yang dibarisi 6 pemain sekolah ini dan 2 pemain SK Sogo-Sogo mencipta kejutan terbesar di dalam Kejohanan Piala Juara-Juara Futsal Negeri Sabah Edisi 2010 apabila melakarkan kemenangan 1-0 hasil jaringan Alfoy Dimo ke atas Pasukan Tunas Asas Bola Sepak (TABS) Daerah Kota Kinabalu yang dibarisi oleh rata-rata pemain bolasepak 12 Tahun negeri Sabah. Kejohanan yang dianjurkan pada 11-12 Disember 2010 telah berlangsung di Stadium Utama Likas yang melibatkan 16 pasukan yang telah berjaya merangkul kejuaraan di peringkat daerah Kota Kinabalu, Likas, Sandakan, Keningau, Tawau dan Tongod.Pasukan sekolah ini yang mewakili daerah Tongod selaku pemenang Piala Kejohanan Peringkat Daerah telah diundi bersama 2 pasukan lain iaitu Dalit United (Juara Bahagian Keningau) dan Ginga Kiddos (Juara Bahagian Tawau).Walaupun bagaimanapun hajat pasukan sekolah ini untuk mencipta kejutan tersekat apabila tunduk di tangan pasukan Dalit United dengan keputusan 2-0 dan Ginga Kiddos dengan 1-0. Manakala dalam pertandingan merebut Piala Juara-Juara, SK Kiandongo telah ditunjukkan jalan keluar pada pusingan pertama oleh Pemenang Kejuaraan iaitu Pasukan TABS Tuaran. Pasukan TABS Tuaran yang merupakan Juara Piala Bola pada edisi kali ini telah berjaya menumpaskan Juara Piala Kejohanan, TABS Kota Kinabalu di dalam perlawanan akhir dengan keputusan 4-3.

Ahad, November 28, 2010

Malam Seribu Kenangan 2010


Seperti Tahun 2009, SK Kiandongo sekali lagi berjaya mengadakan program penutupan dan perpisahan untuk murid-murid tahun 6. Di samping itu, program ini diadakan bagi meraikan kejayaan dan kegemilangan murid-murid sekolah sepanjang tahun 2010 sama ada dalam bidang akademik mahupun ko-kurikulum. Malam Seribu Kenangan 2010 yang diadakan pada 18 November 2010 adalah kali kedua diadakan di Dewan Masyarakat Kg. Kiandongo Darat yang turut mengundang Encik Primus Longkiad, Ketua Unit Psikologi dan Kaunseling PPD Tongod selaku Perasmi majlis tersebut. Buat ulung kalinya, murid-murid tahun 6 telah mengenakan jubah graduasi dan topi mortarboard di dalam majlis ini sebagai satu pengiktirafan yang tertinggi diberikan kepada mereka di atas pencapaian amat memberangsangkan di dalam peperiksaan UPSR 2010. Saudara Alfoy berjaya merangkul dua anugerah iaitu Anugerah Kepimpinan (Lelaki) dan Anugerah Akademik (Tahap 2) manakala Anugerah Bintang Ko-Kurikulum disandang oleh Saudara Adely Aim. Saudari Marliana Asxung dianugerah Anugerah Kepimpinan bagi kategori wanita. Buat semua murid tahun 6, pihak sekolah merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan tahniah di atas kejayaan yang dicapai sepanjang menuntut di sekolah ini.

Isnin, November 22, 2010

UPSR : Kekal Tetapi Lebih Kualiti


Keputusan UPSR 2010 telah diumumkan pada 19 November 2010 dengan mencatat rekod keputusan yang memberangsangkan di seluruh negara. Pencapaian kelulusan UPSR pada tahun 2009 dan 2010 adalah sama iaitu 20% walaupun status kehadiran seorang calon mencetus tanda tanya dan menyebabkan pencapaian tersebut hanya sekadar menyamai pencapaian tahun lalu. Sekiranya keadaan berlaku sebaliknya, pencapaian kelulusan sekolah ini boleh mencecah 26.7%. Walau bagaimanapun dari segi kualiti, seramai 6 orang murid berjaya memperolehi sekurang-kurang 1A berbanding 3 orang tahun 2009. Di samping itu, Gred Purata Sekolah (GPS) mencatat keputusan yang memberangsangkan apabila catatan 2.97 menjadi catatan terbaik sejak dari tahun 2003 iaitu apabila sejak perlaksanaan PPSMI.Bukan itu sahaja, Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi semua subjek pada tahun ini adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya. Antara murid-murid yang lulus ialah Alfoy Dimo, Adley Aim dan Priscillia Petrus.

SK Kiandongo Mengigit Di Sogo-Sogo




Kejohanan Sukan dan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Zon Tongod Ke 2 telah diadakan di SK Sogo-Sogo dan Padang Sumilad, Tongod bermula 1 - 4 November 2010. Pada tahun 2009, SK Kiandongo telah merangkul 3 Emas, 8 Perak dan 7 Gangsa dengan menduduki tempat kedua keseluruhan. Namun pada kali ini tiba giliran SK Kiandongo dinobatkan selaku Johan Keseluruhan MSZT dengan atlit-atlit wanitanya menyumbang 5 Emas daripada 6 Emas yang diperolehi. Jika pada tahun 2009, Adely Aim dimartabatkan sebagai Olahragawan Terbaik, pada edisi kali saudari Echlinah Philip diangkat sebagai Olahragawati MSZT selepas memenangi acara 200m, 4 x 200m dan pingat perak acara 100m dan 4 x 100m. Selain itu, penyumbang-penyumbang pingat Emas adalah Cerolinechryscilla Mor, Shaflyn Laiwin, Renlly Ramdose, Kuartet 4x200 m (wanita) dan Pasukan Bola Tampar Wanita. Secara keseluruhan, SK Kiandongo berjaya memenangi 6 Emas, 4 Perak dan 7 Gangsa. Kejayaan itu ditambah dengan 7 atlitnya dipilih mewakili zon Tongod. Atlit-atlit tersebut ialah Echlinah, Cerolinechryscilla, Norjianah, Shaflyn, Richel, Renlly dan Vindry. Kontijen SK Kiandongo disertai 12 atlit lelaki,11 atlit wanita dan 7 orang guru.

Syoknya Sains Bersama Petronas





Seramai 9 orang murid SK Kiandongo berserta seorang guru pengiring, Cikgu Mohd Rashdan telah terlibat secara langsung dengan sebuah program anjuran Petrosains pada 29 Oktober hingga 1 November 2010. Program yang diberi nama 'Petronas Science Educamp' telah diadakan di SRK Pekan Tongod dengan melibatkan 93 orang murid daripada penyertaan 8 buah sekolah sekitar daerah Telupid. Kehadiran 10 orang Fasilatator dari Petrosains telah banyak memberi manafaat kepada para guru dan murid-murid untuk mendalami ilmu Sains dengan kaedah yang amat menyeronokkan. Banyak eksperimen dijalankan adalah lebih menumpukan kaedah 'Fun Learning' serta memupukkan minat murid-murid terhadap kepentingan Sains dalam kehidupan seharian. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan setiap tahun

Ahad, Oktober 24, 2010

SK Kiandongo Raih Ketiga Jejak Maklumat



Bertempat di SK Pekan Telupid, Pusat Kegiatan Guru (PKG) Daerah Telupid telah mengadakan program Jejak Maklumat yang turut melibatkan penyertaan pelajar-pelajar SMK di sekitar Daerah Telupid kecuali SMK Pinangah. Pasukan SK Kiandongo turut menyertai pertandingan ini dengan 4 orang murid sekolah ini telah terpilih iaitu Elsie Peter, Richel Jasmi, Norjianah Aim dan Syaflyn Laiwin. SK Kiandongo telah berjaya menduduki tangga ketiga di belakang SK Gabungan dan SK Pekan Telupid. Pencapaian mereka ini dilihat sebagai satu perkara yang memberangsangkan memandangkan sekolah ini hanya menghantar murid tahun 5 dan tahun 4 sahaja berbanding lain-lain sekolah.

6 ahli Raih Emas Korobori



Pada 1 hingga 4 Oktober 2010, seramai 6 orang ahli Pengakap SK Kiandongo bersama seorang Guru Pemimpin telah menghadiri Kem Korobori Pengakap Daerah Telupid. Perlaksanaan program ini telah berlangsung di SK Kapuron dengan melibatkan 125 orang murid daripada 7 buah sekolah. Kem Korobori ini yang diadakan merupakan program ulung kali di Daerah Telupid yang turut melibatkan penyertaan SK Paris 3 dari daerah Kinabatangan. Program yang berobjektif untuk memupuk minat berpengakap dari bangku sekolah rendah telah banyak memberi manafaat kepada murid-murid dari semua sekolah. Program ini telah menetapkan semua murid harus menamatkan aktiviti korobori dalam tempoh 2 hari. Sebanyak 18 stesen kemahiran telah dikendalikan oleh Pengakap Kelana dan Unit Latihan Pengakap Negeri Sabah. Antara stesen yang menarik adalah permainan Dart Tag, Tarjan, Pameran Puzzle, Radio Amatur dan Permainan Minda. Kem Korobori ini telah dirasmi oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah, Datuk Awang Zaini bin Haji Sutim pada 1 Oktober 2010 manakala majlis penangguhan telah ditutup oleh Timbalan Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah, Encik Nourman @ Rayn Awang Zaini pada 4 Oktober 2010. Semua ahli pengakap SK Kiandongo berjaya menamatkan cabaran aktiviti korobori dalam 20 orang peserta dan layak dianugerah Emas Korobori. Ahli Pengakap SK Kiandongo yang terdiri daripada Alfoy Dimo, Adley Aim, Marliana Ascung, Julletta Koh, Yoel Lilip dan Renlly Ramdose turut menerima lencana ‘Bontugan Kopuran’ dan Sijil Penyertaan semasa Majlis Penangguhan.

Ahad, September 26, 2010

SK Kiandongo Johan Futsal Daerah Tongod

SK Kiandongo mencatatkan satu lagi sejarah dalam pencapaian sukan apabila muncul juara pertama bagi Kejohanan Futsal Daerah Tongod anjuran Lembaga Sukan Negeri Sabah apabila pasukan lelaki SK Kiandongo 'A' menjadi Juara Dalam Juara apabila memenangi kesemua perlawanan dengan membenam pasukan demi pasukan pada peringkat kumpulan dengan membuka tirai perlawanan dengan membelasah pasukan SK Langkabong 'A' dengan 10-0,Kesures Junior (9-0), SK Linayukan (5-0), SK Tongod 'B' (3-0) dan SK Langkabong 'B' (2-0). SK Kiandongo 'A' mara ke peringkat kejuaraan untuk merebut Piala Kejohanan (Championship Cup) dan dipertemukan dengan SK Tampasak 'A'. Dalam pertarungan yang diibarat pertemuaan buku dengan ruas, pasukan ini berjaya meraih kemenangan dalam sepakan penalti dengan keputusan 2-0 selepas terikat 1-1 pada perlawanan sebenar. Pada peringkat akhir pasukan ini berjaya mengalahkan SK Tongod 'A' dengan keputusan 5-0 dengan 4 daripada jaringan tersebut dijaringkan oleh Saudara Alfoy Dimo yang merakamkan 15 gol sepanjang kejohanan. Pasukan ini turut dibarisi oleh Junie Tikan (Penjaga Gol), Zikhrius Jalius, Jusrin Kee (SK Sogo-Sogo), Willmy Albert,Jainus Maika, Jelikmus Philipmus,Renlly Ramdose dan Adely Aim yang muncul sebagai Penjaring Terbanyak dengan 18 gol. Manakala pasukan perempuan, SK Kiandongo 'A' dibarisi oleh murid Tahun 4 berjaya meraih tempat ke-4 selepas tewas 0-2 kepada pasukan SK Tampasak 'A' pada peringkat separuh akhir dan tewas 0-1 kepada pasukan SK Tongod 'A' dalam perebutan tempat ke 3 /ke 4. Pasukan SK Kiandongo telah menghantar 4 pasukan dan pencapaian keempat-empat pasukan ini amat membanggakan kerana mereka semangat juang yang tinggi dan komitmen yang jitu untuk memenangi setiap perlawanan.

Rabu, September 22, 2010

UPSR Bermula , 15 Murid Terlibat

Seramai 15 orang Murid SK Kiandongo akan terlibat dalam peperiksaan UPSR bermula 21 hingga 23 September 2010. Jumlah ini merupakan sebahagian daripada 490 000 calon yang bakal mengambil peperiksaan ini yang membabitkan seluruh negara. Pencapaian sekolah ini pada tahun 2009 menunjukkan peningkatan 20% kelulusan dengan Gred Purata Sekolah (GPS)pada ketika itu ialah 3.23 dengan jumlah orang murid yang lulus penuh ialah 3 orang. Bagi tahun 2010, diharapkan pencapaian tahun ini lebih baik tahun sebelum dengan sasaran adalah kurang 3.00 bagi GPS dan lebih 3 orang murid untuk lulus penuh.

Ahad, September 05, 2010

Pertandingan Dam dan Catur Tertutup SK Kiandongo



Pada 30 Ogos 2010, satu Pertandingan Dam dan Catur Tertutup SK Kiandongo telah diadakan di kalangan murid Tahun 4 hingga 6. Di dalam pertandingan Dam kategori Perempuan, Ellcey Sagitan telah muncul Juara manakala Dinosa John meraih tempat kedua.Sementara di dalam kategori Lelaki , saudara Junie Tikan berjaya menewaskan Airron Julis dalam perebutan kejuaraan. Bagi Pertandingan Catur, kategori Perempuan dimenangi oleh murid Tahun 5, Elsie Peter manakala Marliana Ascung dinobatkan selaku Naib Johan. Manakala kategori Lelaki, saudara Alfoy Dimo berjaya mengenepikan dua pencabar yang lain dengan Zikhrius Jalius meraih tempat kedua dan Hasri Erwin di tempat ketiga.

Trio AFS United Juara Sepaktakraw

Gandingan trio Alfoy Dimo,Fezwin Laiwin dan Shamrizal Sangkala berjaya mengondol kejuaraan Sepaktakraw Edisi Pertama sempena Karnival Ko-Kurikulum SK Kiandongo. Trio ini yang dikenali sebagai AFS United berjaya memenangi kesemua perlawanan yang membabitkan 5 pasukan kesemua. Perlawanan yang diadakan secara liga adalah buat ulung kali diadakan sebagai ujian pemilihan atlit bawah 12 Tahun untuk mewakili sekolah ini pada peringkat Zon Tongod. Kejohanan yang berlangsung pada 25 dan 26 Ogos 2010, telah menyaksikan pasukan Tengungu menduduki tempat kedua manakala pasukan Double Z meraih tempat ketiga.

Ahad, Ogos 29, 2010

Flying Fox Juara Bola Tampar




Kekalahan kepada pasukan Malagatan United pada peringkat kumpulan langsung tidak mengugatkan prestasi pasukan Flying Fox bagi menjulang kejuaraan Pertandingan Bola Tampar bersempena Karnival Ko-Kurikulum SK Kiandongo. Pertandingan yang berlangsung selama 2 hari pada 23 -24 Ogos 2010 telah menghimpunkan 6 pasukan yang dibahagikan kepada 2 kumpulan. Pasukan Flying Fox yang disertai oleh Junie Tikan dan Zikhrius Jalius telah berjaya bangkit pada perlawanan kedua dengan menewaskan Old Girl dengan keputusan 30-20. Kemenangan itu melayakkan pasukan Flying Fox selaku naib johan kumpulan B dan bertemu pasukan Superboy yang diketuai oleh Alfoy Dimo. Perlawanan separuh akhir ini berjaya dimenangi dengan begitu mudah apabila pasukan Flying Fox menang dengan kiraan 30-21. Perlawanan kemuncak menemukan pasukan Flying Fox dengan pasukan Falcon yang diketuai oleh Adely Aim yang sebelum itu dengan mudah menewaskan pasukan Malagatan United dengan keputusan 30-12. Pada perlawanan akhir pasukan Flying Fox berjaya muncul juara apabila menang dengan keputusan 30-21. Sementara pasukan Superboy berjaya mengenepikan pasukan Malagatan United bagi muncul pemenang tempat ketiga dengan keputusan 32-30.

Selasa, Ogos 17, 2010

Adely , Marliana Wira Wirawati Futsal



6 Jaringan Adely Aim dan 3 Jaringan Marliana Ascung banyak membantu pasukan Blue Eagle dan Old Girl untuk menjuarai pertandingan Futsal tertutup SK Kiandongo. Pertandingan yang buat ulung kali diadakan bersempena Karnival Kokum SK Kiandongo dan berobjektif memantapkan pasukan Futsal lelaki dan perempuan bagi menyertai pertandingan Futsal peringkat Daerah Tongod /Telupid yang bakal diadakan pada 25 dan 26 September 2010. Pasukan Blue Eagle yang diketuai oleh saudara Adely berjaya menjuarai Futsal kategori lelaki dengan berjaya memungut 7 mata hasil 2 kemenangan dan 1 keputusan seri termasuk kemenangan menentang pasukan Silver Hawk yang diketuai oleh Zikhrius Jalius. Jaringan pada masa kecederaan oleh Adely berjaya memberi kemenangan 2-1 ke atas pasukan Silver Hawk. Manakala kategori perempuan pasukan Old Girl yang dibarisi oleh murid tahun enam berjaya memungut 7 mata. Manakala pasukan Junior Girl yang dianggotai oleh murid tahun empat berjaya menduduki tangga kedua. Semoga pertandingan ini dapat memberi pengalaman penuh bermakna kepada mereka yang terpilih untuk mewakili sekolah ini.

Sabtu, Ogos 07, 2010

Program Permata E-Kasih 2010


Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sabah dan Pejabat Pelajaran Daerah Tongod (Telupid) telah berganding bahu bagi menjayakan program Permata E-Kasih peringkat daerah Tongod/Telupid pada 5 hingga 7 Ogos. Seramai 80 orang dari 12 buah sekolah rendah di daerah ini telah terpilih menyertai program pada kali ini. Pengisian program lebih tertumpukan ke arah memantapkan persediaan murid-murid Tahun 6 di dalam menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun ini.Adik Alfoy Dimo, Adley Aim, Zikhrius Jalius, Hasri Erwin dan Priscillia Petrus telah dipilih bagi mewakili SK Kiandongo berdasarkan kejayaan merit mereka di dalam peperiksaan UPSR. Program yang berlangsung 3 hari 2 malam ini telah diadakan di Hotel Queen Alice Inn sebagai lokasi penginapan manakala Dewan Majlis Daerah Belurah menjadi lokasi berlangsung sesi perkuliahan.

Isnin, Julai 26, 2010

Kem Lambaian Ilmu Gegar Perhutanan


Zon Tongod telah mendahului zon-zon lain di Daerah Telupid apabila gabungan 4 buah sekolah di zon terbabit telah berjaya merealisasikan satu program motivasi UPSR yang dipahat dengan nama Kem Lambaian Ilmu 2010. Program ini merupakan kesinambungan program yang pernah dikendalikan pada tahun 2008 di SRK Pekan Tongod. Kem Lambaian Ilmu pada kali ini telah dikendalikan oleh SK Kiandongo sambil dibantu erat oleh SK Sogo-Sogo, SK Imbak dan SRK Pekan Tongod. Seramai 105 murid Tahun 6 dari keempat-empat buah sekolah ini telah hadir bagi merancakkan perjalanan program ini sambil dibantu oleh 27 orang guru dan kakitangan sekolah bagi memastikan perjalanan program berjalan seperti yang diaturkan . Perancangan program yang diaturkan pada sebulan setengah yang lalu berjalan seperti diharapkan walaupun beberapa masalah dari segi logistik,komunikasi dan pengangkutan tetap berlaku. Kerjasama yang erat daripada guru-guru dan kakitangan-kakitangan bukan akademik telah memupuk satu suasana yang mesra dan bersepadu untuk memastikan para peserta kem dapat menghayati matlamat dan objektif program ini.Program ini telah diadakan pada 23 hingga 25 Julai 2010 yang lalu dengan Pejabat Perhutanan Daerah Tongod telah menjadi lokasi pilihan berdasarkan suasana alam sekitar yang lebih unik.

Ceramah Motivasi Menjelang UPSR

Yayasan Sabah sebagai sebuah badan perbadanan di bawah kerajaan negeri Sabah telah tampil membantu menjayakan program motivasi yang dikendalikan oleh pihak SK Sogo-Sogo dengan membuka peluang kepada murid-murid Tahun 6 SK Kiandongo untuk sama-sama melibatkan diri di dalam program penuh bermakna tersebut. Program yang diberi nama "Ceramah Motivasi Menjelang Peperiksaan" telah diadakan pada 20 Julai 2010 bertempat di Bangunan Prasekolah SK Sogo-Sogo telah menyaksikan kehadiran 48 orang peserta dari SK Sogo-Sogo dan SK Kiandongo. Program yang pada awalnya dirancang untuk diadakan di SK Linayukan banyak memberi input dan rangsangan kepada murid tentang peluang dan bantuan yang akan dihulurkan oleh pihak Yayasan Sabah jika mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR.

Sabtu, Julai 10, 2010

Uniknya SK Kiandongo


Keunikan SK Kiandongo terserlah dengan kewujudan bangunan asalnya merupakan sebuah kawasan ‘workshop’ kayu balak yang pembinaannya menjangkau lebih 40 tahun. Berdirinya SK Kiandongo di atas puncak sebuah bukit dengan cabaran angin ribut dan kawasan sambaran petir memberi inspirasi kepada gurunya betapa tingginya mentaliti mereka. Bangunan bengkel kayu balak yang menjadi bangunan sekolah telah menghimpun sejumlah 94 orang murid pada awal pembukaanya pada tahun 1989. Pada waktu itu, kelas tahun 1 hingga tahun 6 berkongsi telinga dan mata untuk melihat dan mendengar keunikan kelas mereka tanpa pemisah, berlantaikan tanah dan bertingkapkan angin sepoi-sepoi bahasa. Namun keadaan yang unik itu sedikit terhakis, apabila pihak PIBG mula membina dinding setebal 3mm daripada papan lapis sebagai pemisah. Alunan suara guru dan murid di kelas bersebelahan masih berkumandang ibarat bisikan dan dentam-dentum guruh di langit. Keunikan sekolah ini juga menarik dikongsi apabila rumah setingan guru dibina di celah –celah tangki air bersama dinding bangunan sekolah buat penambah ceria kepada komuniti sekolah. Sekali-sekala ribut datang melayang-layangkan bumbung rumah mereka dan kehadiran hujan menjengahkan diri dengan titisan rahmat buat mengujakan jiwa guru-guru di sini.

Rabu, Jun 23, 2010

Kiandongo Tagih Pra Sekolah




Ketiadaan Pra Sekolah telah banyak membantutkan pendidikan di sekolah ini sehingga merencatkan proses pengajaran dan pembelajaran di tahap 1 kerana rata-rata murid menghadapi masalah untuk menulis dengan betul dan menyesuaikan diri dengan keadaan persekolahan. Pembinaan sekolah ini dibuat atas alternatif pihak sekolah dan PIBG bagi memastikan proses pendidikan telah diterapkan pada peringkat awal. Dengan beralaskan lantai simen, berbumbungkan atap zink dan berdindingkan kayu setinggi 3-4 kaki.Keadaan ini tidak ubah seperti sebuah kandang yang berukuran 24 meter persegi.Diharapkan pihak-pihak yang bertanggungjawab dapat melihat akan hal ini berdasarkan kepentingan keperluan ini pada masa kini supaya perancangan NKRA adalah selari dengan perlaksanaanya.

Khamis, Mei 27, 2010

Cenderawasih Terbang Tinggi, Kenyalang Rebah





Walaupun dalam keadaan serba kekurangan ditambah cuaca yang kurang menentu, Kejohanan Olahraga Majlis Sukan SK Kiandong Edisi 2010 masih tetap berlangsung dengan suasana yang meriah. Keadaan yang pada mulanya dikatakan suram berikutan beberapa guru dan kakitangan yang terlibat dengan kursus, peperiksaan dan urusan peribadi bakal menjejaskan edisi kejohanan pada kali, ternyata sebarang telahan tersebut meleset . Ini membuktikan bahawa SK Kiandongo masih mempunyai guru-guru berkualiti tinggi dan ditambah dengan kakitangan masih mempunyai komitmen terpuji. Di dalam kejohanan kali ini, pasukan Rumah Cenderawasih (Merah) muncul juara keseluruhan dengan memenangi sejumlah 18 pingat ( 6 Emas, 6 Perak, 6 Gangsa) dengan atlit perempuannya, Richel Jasmi dinobatkan sebagai Olahragawati dengan memenangi 3 pingat Emas di dalam acara Lompat Jauh, Lontar Peluru dan 4 X 200 meter dan 1 pingat Perak melalui acara 4 X 100 meter. Bagi tempat kedua, persaingan pada kali ini disifatkan sungguh sengit dengan pasukan Rajawali (Kuning) berjaya meraih kedudukan tersebut dengan pungutan 4 Emas, 1 Perak dan 3 Gangsa berbanding pasukan Kasawari (Hijau)dengan 3 Emas, 6 Perak dan 3 Gangsa manakala pasukan Kenyalang (Biru)terpaksa berputih mata pada kali ini dengan meraih 3 Emas, 3 Perak dan 4 Gangsa. Sementara itu, Melson Ascung dipilih sebagai Olahragawan dengan 2 Emas (100m dan 200m) dan 1 Gangsa (4 x 200 m). Majlis Penutupan pada kali ini telah dirasmikan oleh Encik Stephen Radin @ Azmi, Ketua Sektor Pembangunan Sumber Manusia PPD Tongod (Telupid)

Selasa, Mei 18, 2010

Sukaneka Sempena Sambutan Hari Guru


Bersempena Sambutan Hari Guru pada tahun ini, SK Kiandongo telah mengambil inisiatif ini untuk mengadakan sukaneka pada 17 Mei 2010 yang lalu. Beberapa acara telah diadakan bagi menjayakan program sambutan antaranya Mengisi air di dalam botol, Mengepit belon, Membawa bola pingpong dengan sudu, Berebut kerusi dan Lari Kaki Tiga.

Carta Organisasi SK Kiandongo


Gotong Royong Perdana


SK Kiandongo,15 Mei 2010 - Pihak sekolah ini bersama-sama PIBG SK Kiandongo telah mengembleng tenaga bagi menjayakan aktiviti gotong-royong bersempena Program Gotong Royong 1Malaysia yang diadakan berserentak di seluruh negara. Program telah berjaya lebih berjaya mengumpul 40 orang ibu bapa dan belia Kampung Kiandongo dan Kampung Malagatan Kecil untuk sama-sama membina tandas murid dan guru, membina pondok sukan, membersih kawasan sekitar Padang dan Dewan Kg. Kiandongo dan mengali tangki septik untuk keggunaan tandas. Kehadiran beberapa guru sekolah ini turut mempereratkan lagi hubungan di kalangan masyarakat. Diharapkan program seumpama ini dapat dijayakan dengan lebih kerap lagi.

Aktiviti Pengakap : Masakan hutan


Seperti kelaziman tahun lalu, pasukan Pengakap mengadakan aktiviti memasak dengan menggunakan buluh. Kehadiran sejumlah 20 ahli dan beberapa ahli PBSMM telah merancakkan aktiviti ini. Program yang diadakan pada 1 Mei 2010 telah bermula seawal jam 7.30 pagi dan berakhir sebelum jam 12.00 tengahari.

Ahad, Mei 09, 2010

Kejohanan Olahraga MSSKd


Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Kebangsaan Kiandongo dijangka diadakan pada 25 - 27 Mei 2010 . Diharapkan semua penduduk di sekitar kampung dan sekolah dapat hadir untuk memeriahkan kejohanan. Kehadiran beberapa guru baru diharapkan dapat melancarkan kejohanan kali ini.

PKSR bermula

SK Kiandongo akan memulakan peperiksaan pertengahan tahun bermula 10 hingga 14 Mei 2010. Peperiksaan ini bakal memberi kesempatan kepada penganjuran Sukan Sekolah pada 25- 27 Mei 2010

Cabaran Berakhir

Dua orang murid sekolah ini telah dipilih untuk mewakili Bahagian Sandakan. Zikhrius Jalius, pemain Bola Sepak di posisi pertahanan tidak dapat membantu kemaraan pasukan ini dengan lebih jauh setelah ditunduk oleh Pasukan Bahagian Pantai Barat 1-3. Perlawanan terdahulu, pasukan ini telah berjaya menundukkan pasukan Pedalaman dengan jaringan 2-1. Dengan dua keputusan tersebut, pasukan ini terpaksa akur dengan perbezaan jaringan dan tersingkir untuk ke peringkat Separuh Akhir. Semua perlawanan telah diadakan di SK Bingkor, Keningau pada 26 - 30 April 2010. Manakala Adely Aim gagal melayakkan diri ke peringkat akhir acara 100m di dalam pertandingan olahraga peringkat negeri Sabah yang dianjurkan oleh Bahagian Selatan yang bertempat di Tawau. Kejohanan ini telah berlangsung pada 18 - 23 April 2010. Walau bagaimana pun, pencapaian kedua-dua murid ini telah banyak membantu mengharumkan nama baik sekolah.

Sabtu, April 17, 2010

Bola Sepak MSSGS : Tongod (Telupid) Pertahankan Kejuaraan




Tarikh 16 April 2010, pasti menjadi sejarah yang paling gemilang buat pasukan Bola sepak 12 Tahun & Ke bawah Daerah Tongod (Telupid) apabila muncul Juara dengan memenangi semua perlawanan yang melibatkan 4 Daerah di bahagian Sandakan iaitu Kinabatangan, Sandakan dan Beluran. Pasukan ini memulakan perlawanan dengan penuh bergaya apabila membelasah Daerah Beluran dengan keputusan 4-0 dengan jaringan hatrick adik Fedric Fazzly Gusmia (SK Buis) dan 1 gol daripada Adik Applos Kiramli(SK Gabungan). Perlawanan seterusnya menemukan pasukan ini dengan Daerah Kinabatangan dan sekali lagi Fedric menemui sentuhan pemusnah dengan 3 jaringannya menumbangkan pasukan Kinabatangan 3-0. Perlawanan terakhir melibatkan pertemuan dengan pasukan Sandakan yang berakhir dengan Tongod (Telupid) menang dengan keputusan 2-0 hasil 2 jaringan oleh Fedric yang menyaksikan 9 orang pemain dari Daerah ini telah terpilih mewakili Bahagian Sandakan termasuk seorang pemain SK Kiandongo iaitu Adik Zikhrius Jalius. Sebelum itu, pasukan Tongod (Telupid) telah menjalani latihan pusat di SK Sogo-sogo pada 12 - 15 April 2010 dengan dibantu oleh Jurulatih-jurulatih dari SK Sogo-sogo dan SK Kiandongo. Seramai 19 pemain telah dipanggil untuk menjalani latihan pusat yang turut melibatkan 3 orang murid daripada SK Kiandongo iaitu Zikhrius, Junie Tikan dan Melson Ascung. Kerjasama sesama jurulatih merupakan intipati yang kuat ke arah kecemerlangan pasukan ini sepanjang kejohanan ini berlangsung.

Ahad, April 04, 2010

Adely Kebanggaan SK Kiandongo

Setelah mengharumkan nama sekolah pada Kejohanan Olahraga Peringkat Daerah Tongod (Telupid) yang baru berlalu, Adely Aim sekali lagi menjadi sensasi baru dan kebanggaan sekolah ini apabila berjaya meraih tempat kedua di dalam acara 100 m (Lelaki bawah 12 Tahun) pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Gabungan Sandakan pada 23 - 25 Mac 2010 yang bertempat di SMK Bukit Garam, Sandakan, Sabah. Beliau juga turut membantu kuartet 4 x 100 m Daerah Tongod (Telupid) meraih emas dan di samping membantu pasukan 4 x 200 m meraih gangsa. Pencapaian beliau dianggapkan cukup cemerlang apabila turut dipilih untuk mewakili Pasukan Gabungan Sandakan. Di dalam kejohanan ini, pasukan Daerah Tongod (Telupid) turut muncul juara dan sekaligus mempertahankan kejuaraan yangdimenangi pada tahun lepas. Pasukan Daerah Tongod (Telupid) meraih 32 Emas, 23 perak dan 11 gangsa sekaligus mengenepikan saingan terdekat pasukan Sandakan , Beluran dan Kinabatangan.

Rawatan Kesihatan


Seperti kelaziman setiap tahun, Klinik Kesihatan Tongod mengadakan lawatan ke sekolah ini untuk menyampaikan ceramah kesihatan serta memberi rawatan suntikan pencegahan bagi penyakitan seperti rubella dan polio. Kehadiran pasukan perubatan telah diadakan 20 Mac 2010 bagi memberi rawatan khususnya kepada murid tahun 1 dan tahun 6

Sabtu, Mac 27, 2010

Zon Tongod Johan Bola Sepak (12 Tahun dan Ke Bawah)




Seramai 6 orang murid SK Kiandongo telah dipilih untuk mewakili Zon Tongod pada 25 Mac 2010 di dalam pertandingan Bola Sepak Antara Zon yang melibatkan penyertaan daripada semua zon di sekitar Daerah Telupid. Perlawanan yang bermula seawal jam 8.00pagi telah menemukan Zon Tongod dengan Zon Entilibon dengan perlawanan berkesudahan Zon Tongod telah menang sebanyak 3 gol tanpa balas. Perlawanan kedua menentang Zon Ulu Sapi,Zon ini sekali lagi melakarkan kemenangan bergaya dengan keputusan 2-0. Walaupun pada awal perlawanan, kelihatan Zon Ulu Sapi mengasak bertubi-tubi namun kemantapan pertahanan pasukan Zon Tongod yang diterajui oleh Jusrin Kee (SK Sogo-Sogo), Zikhrius Jalius (SK Kiandongo), Juanes (SK Tongod) dan Delly Thomas (SK Imbak) telah berjaya menghalang beberapa percubaan daripada pasukan Zon Ulu Sapi. Manakala perlawanan ketiga menentang Zon Pekan Telupid, pasukan ini akhirnya tewas tipis 1-0. Kemenangan ini sekaligus membuka peluang kepada Zon Pekan Telupid dan Zon Ulu Sapi untuk kembali bersaing merebut kejuaraan. Perlawanan terakhir menentang Zon Penangah, pasukan ini berjaya mencatat kemenangan 1-0 dan sekaligus menjamin tempat kedua di dalam tangan. Perlawanan penentuan antara Zon Pekan Telupid dengan Zon Ulu Sapi telah berakhir dengan keputusan seri 2-2. Walaupun pada suatu ketika, Zon Pekan Telupid telah mendahului dengan dua gol. Namun kecuaian benteng pertahanan dan kegugupan penjaga gol pasukan Zon Pekan Telupid telah membuka peluang kepada pasukan Zon Ulu Sapi menjaringkan dua gol pada dua minit perlawanan dan sekaligus meobatkan pasukan Zon Tongod dengan 9 mata. Mana Zon Pekan Telupid dengan 8 mata dan Zon Ulu Sapi dengan 7 mata. Zon Penangah mendapat tempat keempat selepas meraih 4 mata manakala Zon Entilibon tewas semua perlawanan tanpa meraih sebarang mata.

SK Kiandongo Terima Dua Guru Baru

Kehadiran Cikgu Anitah Hj Matni dan Cik Richard Galabi bakal menyemarakkan lagi proses pembangunan pendidikan di sekolah ini. Pengalaman kedua-dua guru ini yang telah melebihi 10 tahun dijangka mampu meningkatkan prestasi pencapaian sekolah dari semasa ke semasa. Cikgu Anitah yang berlatarbelakangkan di dalam Pengajian Melayu di samping berpengalaman di dalam bidang Pemulihan adalah bekas guru di SK Wonod manakala Cikgu Richard adalah guru Bahasa Inggeris dan pernah mengajar di SK Kaporun sebelum ini.

Jumaat, Mac 05, 2010

Adely Aim Terpilih Wakili Daerah Tongod (Telupid)


Kejayaan menduduki tempat ke-2 di dalam acara 100m di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Tongod (Telupid) pada 2 - 5 Mac 2010 yang lalu,telah membolehkan saudara Adely Aim terpilih mewakili daerah ini di dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Gabungan Sandakan yang dijangka diadakan pada penghujung Mei 2010. Beliau turut memenangi pingat gangsa bagi acara 200m dan turut bertindak cemerlang membantu kuartet 4x200m Lelaki bawah 12 tahun mendapat tempat ketiga walaupun pada suatu ketika pasukan ketinggalan jauh dengan pasukan yang lain.

Bekas Pelajar Bantu Zon Tongod


Sumbangan bekas pelajar SK Kiandongo, Joycee Ramdose, Jitah Tikan, Felsyevyfree Laiwin dan Differy Dimo di dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah Tongod (Telupid)pada 2 - 5 Mac 2010, telah banyak membantu pasukan Zon Tongod menduduki tangga ketiga keseluruhan dengan kutipan 13 Emas, 8 Perak dan 14 Gangsa. Sementara itu, saudari Joycee telah berjaya menggondol 4 pingat emas di dalam acara 100m, 200m, 400m dan 4x400m dan sekaligus muncul Olahragawati bawah 15 tahun dan Olahragawati Keseluruhan. Di samping itu, Jitah Tikan berjaya memprolehi 3 pingat emas melalui acara Lompat Jauh, Lompat Kijang dan 4x400m bagi perempuan bawah 15 tahun. Manakala Felsyevyfree Laiwin muncul tempat pertama bagi acara merejam lembing bagi kategori lelaki bawah 18 tahun. Sementera Differy Dimo hanya berpuas hati dengan 1 perak dan 2 gangsa (100m, 400m dan 4x400m) kategori lelaki bawah 15 tahun. Kontijen Zon Telupid muncul juara dengan memprolehi 30 Emas, 24 Perak dan 17 Gangsa manakala Zon Entilibon dengan 14 Emas,21 Perak dan 13 Gangsa. Pasukan Zon Ulu Sapi dengan 9 Emas dan Zon Pinangah dengan 7 emas.