PPD Tongod (Telupid) telah mengorak langkah awal ke arah mengemaskan perancangan daerah ini apabila telah mengadakan sesi pemantauan secara besar-besaran melibatkan kesemua 31 buah sekolah rendah dan 5 buah sekolah menengah pada hari pertama persekolahan iaitu 2 Januari 2013. Program pemantauan yang diadakan secara sistem bersilang di mana Guru Besar SK Kiandongo , Encik Mohd Jasnee beserta PK Kokum , En. Jemsan telah mengadakan pemantauan di SK Tangkungan manakala wakil SK Tangkungon, Puan Lucy mengadakan lawatan ke sekolah ini. Pada hari yang sama, Pegawai Pelajaran Daerah Tongod (Telupid) , Drs Mahanin Osman berserta Timbalannya , En. Jamain Bakut (Ketua Unit Pengurusan Sekolah) turut hadir meninjau kawasan sekolah bagai memastikan segala permasalahan guru dan murid dapat diatasi dengan jayanya.
Selasa, Januari 08, 2013
Tirai 2013 dibuka
SK Kiandongo yang kini telah berwajah baru khususnya membabitkan bangunan tahap 1 yang telah siap dibaikpulih kecuali pendawaian elektrik. Peruntukkan sejumlah RM195,000 telah disalurkan melalui kontraktor yang dilantik dengan pembaikan membabitkan pengubahsuaian bangunan sekolah termasuk membina semula dinding kelas yang telah runtuh dan rosak , mengecat luar bangunan sekolah, rumah guru dan kantin RMT. Berikutan pembaikan yang telah siap dibaikpulih , pada 31 Disember 2012 dan 1 Januari 2013, satu sesi gotong royong telah diadakan bagi membersihkan kawasan kelas, kantin dan makmal. Pada 1 Januari 2013, satu mesyuarat pengurusan sekolah telah diadakan bagi merangka persiapan dan perancangan aktiviti sepanjang 2013. Kehadiran beberapa orang murid pada hari berkenaan telah banyak membantu para guru. Dengan perubahan besar yang berlaku ke atas fizikal sekolah, komitmen para guru dan semangat daripada para murid bakal melonjakkan satu lagi episod kegemilangan kepada sekolah ini.
Rabu, November 21, 2012
Siti Nursaadah Dapat 5A
Siti Nursaadah binti Julubin menjadi murid kedua di sekolah ini yang berjaya mendapat 5A dalam keputusan UPSR 2012. Kejayaan beliau turut dikongsi bersama 7 orang murid sekolah ini yang turut lulus. Kejayaan 8 orang murid tersebut telah membantu melonjakkan prestasi sekolah dari segi kualiti iaitu 34.78% (meningkat 29.22%) dan dari segi kuantiti iaitu 2.97 (meningkat sebanyak 0.52). Lebih membanggakan saudari Norjianah Aim berjaya mendapat 3A 2B dan Cerolinechryscilla Mor mendapat 3A 1B 1C.Mereka berdua mendapat A dalam Bahasa Malaysia (Pemahaman), Matematik dan Sains. Sementara Shaflyn Laiwin turut mencatat keputusan yang baik apabila mendapat 2A 2B 1C dengan A bagi subjek Bahasa Malaysia (Pemahaman) dan Sains. 4 murid lain yang mencatat keputusan lulus ialah Echlinah Philip (1A 3B 1C), Kartika Toibon (1A 3B 1C), Norfaezah Laidin (1A,2B, 2C) dan Kasliani Jalius (3B, 2C). Keputusan UPSR 2012 turut mencatat 5 orang murid yang mendapat Miss Lulus. Secara keseluruhan, mata pelajaran Bahasa Malaysia Pemahaman, Bahasa Inggeris , Matematik dan Sains mencatatkan peningkatan.
Selasa, November 20, 2012
Jalan-Jalan Di Sandakan
Kelab Guru dan Kakitangan SK Kiandongo telah mengadakan Program Lawatan Khas pada 9-10 November 2012 di Sekitar Bandar Sandakan. Program yang melibatkan 14 orang murid Tahun 6 Intan dan 6 orang guru sekolah ini bermula sebaik selesai sesi gotong-royong dan mengemas kawasan sekolah . Dalam program ini, murid-murid berkesempatan bermain boling di Gelanggang Boling Sandakan pada sebelah petang. Kemudian pada sebelah malam, murid-murid dibawa bersiar-siar di bandar Sandakan. Beberapa pengalaman baru dapat dirasai di kalangan murid-murid ini dengan keterujaan mandi-manda di Pantai Pasir Puteh pada sebelah pagi 10 November 2012. Peluang berkelah di tepi pantai bersama-sama para guru telah mewujudkan satu suasana yang muhibah dan harmoni. Di samping itu, mereka turut dibawa ke Trig Hill iaitu puncak paling tinggi di Bandar Sandakan. Pada penghujung program ini, semua murid telah dibawa ke Taman Buaya yang terletak di Batu 7, Sandakan.
Selasa, November 13, 2012
Malam Seribu Kenangan 2012
Malam Seribu Kenangan (MSK) 2012 disulami dengan penuh perasaan sama ada sedih mahu suka. Apa yang lebih manis,MSK 2012 yang telah diadakan pada 8 November 2012 dihadiri oleh Pegawai Pelajaran Daerah Tongod (Telupid),Drs Mahanin bin Osman dan Ketua Unit Pengurusan Akademik PPD Tongod, En. Aron Abel. Malam Seribu Kenangan adalah olahan dan gabungan tiga majlis utama iaitu Hari Penyampaian Hadiah, Majlis Perpisahan dan Majlis Graduasi. MSK 2012 telah dikendalikan oleh Kelab Guru dan Staf SK Kiandongo dengan menggunakan sepenuh tenaga para murid SK Kiandongo untuk memastikan bakat mereka terus subur di masa mendatang. Saudari Betlen Phillipmus dan Saudari Fedzliyanis Tonis, murid tahun 4 Baiduri telah dipilih sebagai pasangan pengacara majlis bagi memberi peluang mengasah bakat mereka seawal usia 10 tahun lagi. Pada malam tersebut,beberapa anugerah baru telah diperkenalkan iaitu Anugerah Murid Harapan dan Anugerah Tokoh Murid. Walau bagaimana Ganjaran Kecemerlangan UPSR tidak dapat disampaikan memandangkan keputusan UPSR 2012 hanya akan dikeluarkan pada 19 November 2012.
Berikut ialah senarai pemenang-pemenang anugerah MSK 2012 :
Anugerah Ko-Kurikulum
- Jelikmus Phillipmus (Lelaki)
- Cerolinechryscilla Mor (Perempuan)
Anugerah Akademik
- Dwi Shazlina bt Armon (Tahap 1)
- Siti Nursaadah bt Julubin (Tahap 2)
Anugerah Kepimpinan
- Shaflyn Laiwin
Anugerah Daya Usaha
- Maglinus Janis
- Sarlina Jaimin
- Colin Bryan Petrus
- Jerry Hudsonley Jefri
Anugerah Tokoh Nilam
- Norjianah Aim
- Siti Nursaadah bt Julubin
Anugerah Kehadiran Terbaik
- Purman Porisen
- Pettedrus Petrus
- Betlen Phillipmus
- Jennyqueleen Nelson
- Juanita Julin
- Afely Aim
Anugerah Murid Harapan
- Dwi Shazlina bt Armon
Anugerah Tokoh Ibubapa
- Malinah Damsik
Anugerah Tokoh Murid
- Norjianah Aim
Ibu Bapa Mulai Prihatin
Kehadiran ibu bapa di dalam Majlis Menandatangani Buku Pelaporan Kemajuan Murid serta Penyerahan Slip Keputusan Peperiksaan Akhir Tahun 2012 mencatat peningkatan mendadak apabila 93% ibu atau bapa berjaya hadir ke majlis tersebut berbanding hanya 67% semasa ianya diadakan pada bulan Jun 2012. Peratus kehadiran ibubapa yang tinggi ke majlis tersebut menunjukkan sikap ibu bapa mulai berubah dan sekaligus keprihatinan mereka kepada kepentingan pelajaran anak-anak mereka semakin menunjukkan tanda-tanda positif.
Selasa, November 06, 2012
Ribut Melanda Kiandongo
Tiupan angin ribut pada 2 November 2012 sekitar jam 4 petang telah mengejutkan warga SK Kiandongo yang sedang dalam persiapan mengadakan Majlis Malam Seribu Kenangan 2012. Kejadian pada petang tersebut benar-benar memberi impak yang besar apabila tiupan angin seolah-olah taufan yang disertai hujan lebat telah menerbangkan beberapa bumbung spandix di bangunan lama yang menempatkan makmal sekolah dan beberapa kelas yang tersedia usang dan menunggu rebah. Beberapa keping plywood (papan lapis) yang menjadi dinding pemisah antara kelas turut mengalami kerosakan teruk. Di samping itu, kejadian turut menyebabkan peralatan Alat Bantu Mengajar (ABM) basah dan koyak, cermin tingkap pecah dan rosak, peralatan komputer dan bateri Solar Schoolnet terkena air hujan.
Langgan:
Catatan (Atom)



