Sabtu, Jun 06, 2009

Sambutan Hari Guru Meriah!


Walaupun dengan kapasiti murid yang bilangan hanya mencecah 101 orang, namun berkat dedikasi para guru sekolah ini telah berjaya merealisasikan program Sambutan Hari Guru buat ulung kali dengan pelbagai acara menarik.Dalam menjayakan sambutan ini, dua acara utama telah diadakan pada 22 Mei 2009 dengan melibatkan 2 kategori iaitu acara mendeklamasikan sajak dan mencipta kad ucapan. Kesungguhan dan komitmen murid di sekolah ini terbukti apabila sejumlah 23 keping kad telah dihantar ke pihak urusetia dengan pelbagai idea kreatif. Bagi kategori tahap 1, Adik Norjianah bt Aim (9 tahun) telah berjaya memenangi kedua-dua acara tersebut manakala Adik Echlinah Philip juga murid tahun 3 hanya sekadar di tempat ke 2 bagi pertandingan mendeklamasi sajak. Adik Syaflyn Laiwin sekadar di tempat ke 3. Bagi tahap II, Adik Alfoy Dimo, murid tahun 5 berjaya menewaskan pesaing terdekat iaitu Adik Marliana Ascung dan Jienecy Jibin dalam pertandingan mendeklamasi sajak. Manakala kad ucapan yang dihantar oleh Adik Elny Matthew telah berjaya meraih tempat pertama bagi acara tersebut. Sementara Adik Adely Aim dan Jienecy Jibin sekadar menduduki tempat ke 2 dan ke 3. Walaupun aktiviti merupakan perkara baru bagi murid-murid di sekolah ini, diharapkan program seumpama ini akan terus menjadi agenda tahunan di sekolah ini

Jumaat, Jun 05, 2009

Kasawari - Johan Sukan SK Kiandongo



Rumah Sukan Hijau yang dinamakan sebagai pasukan Kasawari yang di bawah pimpinan Cikgu Jemsan dan Cikgu Betty telah berjaya menjulang kejuaraan sukan padang dan balapan SK Kiandongo bagi musim 2009 apabila berjaya memperolehi 5 pingat emas melalui acara 4 X 100m, 4 X 200m (Lelaki dan Perempuan) serta Lompat Jauh (Lelaki) manakala bagi pasukan Kenyalang di bawah pimpinan Cikgu Vincent turut memperolehi 5 pingat emas melalui acara Lontar Peluru (Lelaki dan Perempuan),200 m (Lelaki dan Perempuan) serta 100m (Lelaki). Walaupun bagaimana keputusan keseluruhan adalah ditentukan melalui pungut mata dengan pingat emas diberikan 5 mata, perak (3 mata), gangsa (2 mata) manakala tempat ke 4 (1 mata).Hasil kiraan mata tersebut, rumah Kasawari memperolehi 45 mata berbanding pasukan Kenyalang dan Cenderawasih yang berkongsi tempat ke-2, dengan memperolehi 38 mata. Manakala pasukan Rajawali sekadar tempat ke 4 dengan 14 mata. Sementara itu, Adik Alfoy Dimo dari Rumah Kasawari telah dipilih menjadi Olahragawan SK Kiandongo 2009 dengan memungut 3 Emas 1 Perak manakala Adik Ellcy Sagitan (Kenyalang) menepikan Adik Richel Jasmi dengan perbezaan 1 pingat gangsa untuk dinobatkan sebagai Olahragawati. Kedua-dua peserta ini berjaya memenangi 2 pingat Emas dan 1 pingat Perak. Kejohanan ini diadakan bagi mencari atlit-atlit yang berbakat bagi mewakili sekolah ini ke peringkat lebih tinggi

Ahad, Mei 17, 2009

Selamat hari Guru


Artikel ini dipetik daripada Refleksi Assignment penulis sendiri bertajuk Kecerdasan Emosi semasa berada di IPG KK.

....

Penulis sebenarnya sering mendengar, kejayaan seseorang individu lebih banyak bergantung pada EQ dan bukan IQ. EQ lah yang menjadikan seseorang itu lebih matang dan mampu menangani kepelbagaian masalah dengan bijaksana. Tanpa EQ yang cerdas, seseorang individu tidak boleh pergi jauh kerana mereka sukar menilai kemampuan diri sendiri dan kemampuan orang lain untuk tampil bersaing dalam dunia yang semakin mencabar.

Bagi penulis, bidang psikologi merupakan satu bidang yang sangat mencabar. Ianya memerlukan kebolehan seorang individu bermain dengan jiwa dan perasaan untuk melahirkan intra dan interpersonal. Penulis sebelum ini sering bercanggah pendapat dengan ramai individu. Adakalanya penulis mencadangkan satu perkara yang mampu mengasah kecerdasan emosi setiap guru untuk tampil dengan kebolehan yang pelbagai tetapi sering disalah ertikan. Bagi penulis sebelum ini, seorang guru mestilah memenuhi konsep ‘GURU’ itu sendiri. Iaitu ‘G’ = Guna, ‘U’ =Untuk, ‘R’ = Rakyat, ‘U’ = Umum (guna untuk rakyat umum). Bagi penulis, seorang guru bukan sahaja selayaknya mahir mengajar subjek yang diajar tetapi juga mahir dalam hal-hal yang lebih luas. Dalam sebuah buku bertajuk Guru Sebagai Fasilitator telah meletakkan hierarki ‘guru’ di tempat yang paling bawah dalam mempengaruhi seseorang seperti berikut:

Mentor merupakan guru yang sangat sedikit dalam masyarakat dewasa ini. Pengaruh mentor adalah sangat kuat dalam mempengaruhi seseorang individu mahupun kumpulan. Seseorang yang telah mencapai tahap ‘mentor’ akan ditiru setiap perlakuannya, tindakannya, percakapannya dan pemikirannya. Namun, ramai guru biasa ketika ini tidak memiliki kecerdasan emosi yang tinggi sehingga tidak dapat melayakkan mereka walaupun hanya naik ke suatu tahap lagi iaitu ‘jurulatih’.

Pengalaman penulis sebelum menyiapkan tugasan ini telah bertemu dengan ramai guru termasuk penulis sendiri yang masih mencari-cari identiti ‘guru’ itu sebenarnya. Perkara ‘melihat’ dan ‘merasa’ adalah dua perkara yang berbeza. Menjadi ‘pengerusi majlis’ dan menjadi ‘penonton’ juga dua perkara yang berbeza. Begitu juga halnya ‘teori’ dan ‘praktikal’. Kedua-dua perkara ini sebenarnya perlu dikuasai oleh guru bagi menjadikannya seorang guru yang berkualiti. Guru yang berkualiti bukan sahaja menjadi dambaan setiap murid, tetapi juga menjadi kebanggaan sekolah dan masyarakat.

Mungin agak mustahil untuk menguasai kepelbagaian bidang yang terlalu luas. Walau bagaimanpun, amatlah mendukacitakan jika seorang guru masih lagi kekok atau gugup apabila berkomunikasi di hadapan masyarakat umum ataupun dalam sesuatu mesyuarat sedangkan modal seorang guru adalah bercakap atau berkomunikasi setiap hari.


Selamat Hari Guru, Khususnya Guru-Guru Sk.Kiandongo.


Teringat aku akan pesan seorang guru:

Berdosa seorang guru jika anak muridnya keluar dari sekolah pada hari itu, tetapi tidak mendapat apa-apa dari seorang guru apa yang sepatutnya mereka dapat.


Ingatlah kata seorang cendikiawan:

Anakku tidak mendengar apa yang kau kata, tetapi akan melihat apa yang kau buat.



Khamis, Mei 14, 2009

Pertandingan Badminton


Menjelang sambutan Hari Guru, pertandingan badminton tertutup di kalangan para guru dan kakitangan sekolah bakal diadakan pada 20 dan 21 Mei 2009. Permainan yang diadakan secara beregu melibatkan 7 pasangan yang bakal bertarung sengit di Dewan Tongod.

Guru Berdaya Murid Berjaya

Sempena Hari Guru yang bakal menjelang 16 Mei 2009, SK Kiandongo telah merancang pelbagai aktiviti menarik sama ada melibatkan guru mahupun murid-murid di sekolah. Sesungguhnya melalui sambutan Hari Guru di sekolah ini yang dijangkakan sambutan pada 18 Mei 2009 bakal membuka lembaran baru kepada semua guru untuk terus ikhlas menabur bakti dengan menyedari peranan mereka dalam mendidik murid-murid adalah tanggungjawab dan amanah seluruh masyarakat. Keupayaan guru menghasilkan kualiti pengajaran yang baik mampu membawa kejayaan kepada murid-murid di sini. Guru-guru seharusnya tegar dan bersedia menghadapi cabaran yang mendatang kerana kita tidak mahu mendengar ungkapan "Guru kurang berupaya, Murid tidak bermaya"  bahkan apa yang perlu seorang guru martabatkan adalah "Guru berdaya, Murid Berjaya" . Selamat Hari Guru buat semua guru-guru SK Kiandongo.

Rabu, Mei 13, 2009

Minggu Peperiksaan

Setiausaha Peperiksaan SK Kiandongo, Cikgu Andrew Justine telah menetapkan tarikh peperiksaan pertengahan tahun 2009 adalah 12-15 Mei 2009. Tarikh ini dipilih disebabkan penganjuran Kejohanan Sukan Padang dan Balapan pada 26-28 Mei 2009. Semoga semua murid di sekolah ini dapat menghasilkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan ini nanti