Ahad, September 05, 2010

Trio AFS United Juara Sepaktakraw

Gandingan trio Alfoy Dimo,Fezwin Laiwin dan Shamrizal Sangkala berjaya mengondol kejuaraan Sepaktakraw Edisi Pertama sempena Karnival Ko-Kurikulum SK Kiandongo. Trio ini yang dikenali sebagai AFS United berjaya memenangi kesemua perlawanan yang membabitkan 5 pasukan kesemua. Perlawanan yang diadakan secara liga adalah buat ulung kali diadakan sebagai ujian pemilihan atlit bawah 12 Tahun untuk mewakili sekolah ini pada peringkat Zon Tongod. Kejohanan yang berlangsung pada 25 dan 26 Ogos 2010, telah menyaksikan pasukan Tengungu menduduki tempat kedua manakala pasukan Double Z meraih tempat ketiga.

Ahad, Ogos 29, 2010

Flying Fox Juara Bola Tampar




Kekalahan kepada pasukan Malagatan United pada peringkat kumpulan langsung tidak mengugatkan prestasi pasukan Flying Fox bagi menjulang kejuaraan Pertandingan Bola Tampar bersempena Karnival Ko-Kurikulum SK Kiandongo. Pertandingan yang berlangsung selama 2 hari pada 23 -24 Ogos 2010 telah menghimpunkan 6 pasukan yang dibahagikan kepada 2 kumpulan. Pasukan Flying Fox yang disertai oleh Junie Tikan dan Zikhrius Jalius telah berjaya bangkit pada perlawanan kedua dengan menewaskan Old Girl dengan keputusan 30-20. Kemenangan itu melayakkan pasukan Flying Fox selaku naib johan kumpulan B dan bertemu pasukan Superboy yang diketuai oleh Alfoy Dimo. Perlawanan separuh akhir ini berjaya dimenangi dengan begitu mudah apabila pasukan Flying Fox menang dengan kiraan 30-21. Perlawanan kemuncak menemukan pasukan Flying Fox dengan pasukan Falcon yang diketuai oleh Adely Aim yang sebelum itu dengan mudah menewaskan pasukan Malagatan United dengan keputusan 30-12. Pada perlawanan akhir pasukan Flying Fox berjaya muncul juara apabila menang dengan keputusan 30-21. Sementara pasukan Superboy berjaya mengenepikan pasukan Malagatan United bagi muncul pemenang tempat ketiga dengan keputusan 32-30.

Selasa, Ogos 17, 2010

Adely , Marliana Wira Wirawati Futsal



6 Jaringan Adely Aim dan 3 Jaringan Marliana Ascung banyak membantu pasukan Blue Eagle dan Old Girl untuk menjuarai pertandingan Futsal tertutup SK Kiandongo. Pertandingan yang buat ulung kali diadakan bersempena Karnival Kokum SK Kiandongo dan berobjektif memantapkan pasukan Futsal lelaki dan perempuan bagi menyertai pertandingan Futsal peringkat Daerah Tongod /Telupid yang bakal diadakan pada 25 dan 26 September 2010. Pasukan Blue Eagle yang diketuai oleh saudara Adely berjaya menjuarai Futsal kategori lelaki dengan berjaya memungut 7 mata hasil 2 kemenangan dan 1 keputusan seri termasuk kemenangan menentang pasukan Silver Hawk yang diketuai oleh Zikhrius Jalius. Jaringan pada masa kecederaan oleh Adely berjaya memberi kemenangan 2-1 ke atas pasukan Silver Hawk. Manakala kategori perempuan pasukan Old Girl yang dibarisi oleh murid tahun enam berjaya memungut 7 mata. Manakala pasukan Junior Girl yang dianggotai oleh murid tahun empat berjaya menduduki tangga kedua. Semoga pertandingan ini dapat memberi pengalaman penuh bermakna kepada mereka yang terpilih untuk mewakili sekolah ini.

Sabtu, Ogos 07, 2010

Program Permata E-Kasih 2010


Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sabah dan Pejabat Pelajaran Daerah Tongod (Telupid) telah berganding bahu bagi menjayakan program Permata E-Kasih peringkat daerah Tongod/Telupid pada 5 hingga 7 Ogos. Seramai 80 orang dari 12 buah sekolah rendah di daerah ini telah terpilih menyertai program pada kali ini. Pengisian program lebih tertumpukan ke arah memantapkan persediaan murid-murid Tahun 6 di dalam menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun ini.Adik Alfoy Dimo, Adley Aim, Zikhrius Jalius, Hasri Erwin dan Priscillia Petrus telah dipilih bagi mewakili SK Kiandongo berdasarkan kejayaan merit mereka di dalam peperiksaan UPSR. Program yang berlangsung 3 hari 2 malam ini telah diadakan di Hotel Queen Alice Inn sebagai lokasi penginapan manakala Dewan Majlis Daerah Belurah menjadi lokasi berlangsung sesi perkuliahan.

Isnin, Julai 26, 2010

Kem Lambaian Ilmu Gegar Perhutanan


Zon Tongod telah mendahului zon-zon lain di Daerah Telupid apabila gabungan 4 buah sekolah di zon terbabit telah berjaya merealisasikan satu program motivasi UPSR yang dipahat dengan nama Kem Lambaian Ilmu 2010. Program ini merupakan kesinambungan program yang pernah dikendalikan pada tahun 2008 di SRK Pekan Tongod. Kem Lambaian Ilmu pada kali ini telah dikendalikan oleh SK Kiandongo sambil dibantu erat oleh SK Sogo-Sogo, SK Imbak dan SRK Pekan Tongod. Seramai 105 murid Tahun 6 dari keempat-empat buah sekolah ini telah hadir bagi merancakkan perjalanan program ini sambil dibantu oleh 27 orang guru dan kakitangan sekolah bagi memastikan perjalanan program berjalan seperti yang diaturkan . Perancangan program yang diaturkan pada sebulan setengah yang lalu berjalan seperti diharapkan walaupun beberapa masalah dari segi logistik,komunikasi dan pengangkutan tetap berlaku. Kerjasama yang erat daripada guru-guru dan kakitangan-kakitangan bukan akademik telah memupuk satu suasana yang mesra dan bersepadu untuk memastikan para peserta kem dapat menghayati matlamat dan objektif program ini.Program ini telah diadakan pada 23 hingga 25 Julai 2010 yang lalu dengan Pejabat Perhutanan Daerah Tongod telah menjadi lokasi pilihan berdasarkan suasana alam sekitar yang lebih unik.

Ceramah Motivasi Menjelang UPSR

Yayasan Sabah sebagai sebuah badan perbadanan di bawah kerajaan negeri Sabah telah tampil membantu menjayakan program motivasi yang dikendalikan oleh pihak SK Sogo-Sogo dengan membuka peluang kepada murid-murid Tahun 6 SK Kiandongo untuk sama-sama melibatkan diri di dalam program penuh bermakna tersebut. Program yang diberi nama "Ceramah Motivasi Menjelang Peperiksaan" telah diadakan pada 20 Julai 2010 bertempat di Bangunan Prasekolah SK Sogo-Sogo telah menyaksikan kehadiran 48 orang peserta dari SK Sogo-Sogo dan SK Kiandongo. Program yang pada awalnya dirancang untuk diadakan di SK Linayukan banyak memberi input dan rangsangan kepada murid tentang peluang dan bantuan yang akan dihulurkan oleh pihak Yayasan Sabah jika mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR.

Sabtu, Julai 10, 2010

Uniknya SK Kiandongo


Keunikan SK Kiandongo terserlah dengan kewujudan bangunan asalnya merupakan sebuah kawasan ‘workshop’ kayu balak yang pembinaannya menjangkau lebih 40 tahun. Berdirinya SK Kiandongo di atas puncak sebuah bukit dengan cabaran angin ribut dan kawasan sambaran petir memberi inspirasi kepada gurunya betapa tingginya mentaliti mereka. Bangunan bengkel kayu balak yang menjadi bangunan sekolah telah menghimpun sejumlah 94 orang murid pada awal pembukaanya pada tahun 1989. Pada waktu itu, kelas tahun 1 hingga tahun 6 berkongsi telinga dan mata untuk melihat dan mendengar keunikan kelas mereka tanpa pemisah, berlantaikan tanah dan bertingkapkan angin sepoi-sepoi bahasa. Namun keadaan yang unik itu sedikit terhakis, apabila pihak PIBG mula membina dinding setebal 3mm daripada papan lapis sebagai pemisah. Alunan suara guru dan murid di kelas bersebelahan masih berkumandang ibarat bisikan dan dentam-dentum guruh di langit. Keunikan sekolah ini juga menarik dikongsi apabila rumah setingan guru dibina di celah –celah tangki air bersama dinding bangunan sekolah buat penambah ceria kepada komuniti sekolah. Sekali-sekala ribut datang melayang-layangkan bumbung rumah mereka dan kehadiran hujan menjengahkan diri dengan titisan rahmat buat mengujakan jiwa guru-guru di sini.