KUALA LUMPUR 10 Sept. - Lembaga Peperiksaan Malaysia, Kementerian
Pendidikan mengumumkan bahawa kertas Sains 018, 028, 038 Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijadualkan esok didapati bocor
dan peperiksaannya ditangguhkan.
Kertas Sains 018 adalah untuk sekolah kebangsaan manakala sekolah
jenis kebangsaan Cina (028) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (038).
Dalam satu kenyataannya di sini hari ini, lembaga itu memberitahu,
sehubungan itu peperiksaan bagi ketiga-tiga kertas itu ditangguhkan pada
30 September.
Kenyataan itu juga berkata, berdasarkan siasatan awal pihak lembaga
berkenaan, kandungan soalan bagi kertas peperiksaan tersebut telah
tersebar meluas menerusi media sosial.
"Lembaga Peperiksaan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa
untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan
undang-undang," kata kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE
TUMPAT 10 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
memohon maaf kepada calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
dan ibu bapa mereka berhubung kertas soalan Sains yang didapati bocor
dan penangguhannya kepada 30 September ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berharap penangguhan peperiksaan bagi kertas tersebut tidak menggangu tumpuan para calon.
"Lembaga Peperiksaan Malaysia, Kementerian Pendidikan telah
melaporkan perkara itu kepada pihak polis untuk siasatan terperinci dan
berharap perkara tersebut tidak akan berulang lagi," katanya. - UTUSAN
ONLINE

Tiada ulasan:
Catat Ulasan