Sabtu, Januari 28, 2012

Perjumpaan Dengan Ibu Bapa

SK Kiandongo telah mengadakan perjumpaan pertama dengan ibu bapa dan penjaga khususnya melibatkan murid tahun 1. Perjumpaan yang diadakan pada 13 Januari 2012 telah diketuai oleh En. Andrew Justine dengan barisan guru yang lain bagi menerangkan keperluan pembelajaran murid tahun 1 dari segi jadual waktu, penyediaan fail, keceriaan kelas, peranan ibubapa, penjagaan diri murid dan sebagainya. Kehadiran ibu bapa boleh memberi impak yang besar kepada anak jagaan mereka memandangkan proses perubahan kurikulum dari KBSR kepada KSSR yang menitik berat tentang keupayaan murid secara menyeluruh.

Khamis, Januari 26, 2012

SK Kiandongo Juara MSSD Telupid

Pasukan Bola Tampar Wanita SK Kiandongo telah membuka tahun 2012 dengan kejayaan yang cukup gemilang apabila merangkul kejuaraan Bola Tampar 12 Tahun Ke Bawah Majlis Sukan Sekolah Daerah Telupid bagi Tahun 2012.Pertandingan yang diadakan di Gelanggang Bola Tampar Pejabat Daerah Tongod. Pasukan ini telah diwakili oleh Norjianah Aim selaku Ketua Pasukan, Cerolinechryscilla Mor, Virolina Maika, Azreen Ezriana Julis, Echlinah Philip, Shaflyn Laiwin, Kasliani Jalius dan Elyoena Jasmi telah berjaya menumbangkan 3 pencabar iaitu SK Pekan Telupid dengan keputusan 25-6 dan 25-10,SK Takungon 25-16 dan 25-10 dan menundukkan SK Tongod dengan 25-6 dan 25-10. Kejayaan mereka diiringi dengan pemilihan 6 pemainnya untuk mewakili Daerah Telupid bagi menyertai Pertandingan di Peringkat Bahagian Sandakan yang akan diadakan di Daerah Kinabatangan pada 1-2 Februari 2012. Manakala pasukan lelaki sekolah ini tewas kesemua perlawanan untuk menduduki tangga tercorot daripada 4 pasukan yang bertanding.Kategori lelaki dimenangi oleh SK Takungon

23 Murid Tahun 1 Daftar Masuk

Seramai 23 orang murid Tahun 1 mendaftar masuk ke sekolah ini dengan 17 orang daripada mereka adalah perempuan dan selebihnya lelaki. Di samping itu, sekolah ini turut menerima kemasukan dua murid daripada SK(P) Bandar Tinggi dan dua murid daripada SK Tongod. Kemasukan murid tahun 1 dan kemasukan murid yang berpindah dari sekolah lain menjadikan SK Kiandongo mencatatkan enrolmen tertinggi dalam sejarah penubuhan sekolah sejak 23 tahun iaitu 115 orang murid.