Ahad, Mei 17, 2009

Selamat hari Guru


Artikel ini dipetik daripada Refleksi Assignment penulis sendiri bertajuk Kecerdasan Emosi semasa berada di IPG KK.

....

Penulis sebenarnya sering mendengar, kejayaan seseorang individu lebih banyak bergantung pada EQ dan bukan IQ. EQ lah yang menjadikan seseorang itu lebih matang dan mampu menangani kepelbagaian masalah dengan bijaksana. Tanpa EQ yang cerdas, seseorang individu tidak boleh pergi jauh kerana mereka sukar menilai kemampuan diri sendiri dan kemampuan orang lain untuk tampil bersaing dalam dunia yang semakin mencabar.

Bagi penulis, bidang psikologi merupakan satu bidang yang sangat mencabar. Ianya memerlukan kebolehan seorang individu bermain dengan jiwa dan perasaan untuk melahirkan intra dan interpersonal. Penulis sebelum ini sering bercanggah pendapat dengan ramai individu. Adakalanya penulis mencadangkan satu perkara yang mampu mengasah kecerdasan emosi setiap guru untuk tampil dengan kebolehan yang pelbagai tetapi sering disalah ertikan. Bagi penulis sebelum ini, seorang guru mestilah memenuhi konsep ‘GURU’ itu sendiri. Iaitu ‘G’ = Guna, ‘U’ =Untuk, ‘R’ = Rakyat, ‘U’ = Umum (guna untuk rakyat umum). Bagi penulis, seorang guru bukan sahaja selayaknya mahir mengajar subjek yang diajar tetapi juga mahir dalam hal-hal yang lebih luas. Dalam sebuah buku bertajuk Guru Sebagai Fasilitator telah meletakkan hierarki ‘guru’ di tempat yang paling bawah dalam mempengaruhi seseorang seperti berikut:

Mentor merupakan guru yang sangat sedikit dalam masyarakat dewasa ini. Pengaruh mentor adalah sangat kuat dalam mempengaruhi seseorang individu mahupun kumpulan. Seseorang yang telah mencapai tahap ‘mentor’ akan ditiru setiap perlakuannya, tindakannya, percakapannya dan pemikirannya. Namun, ramai guru biasa ketika ini tidak memiliki kecerdasan emosi yang tinggi sehingga tidak dapat melayakkan mereka walaupun hanya naik ke suatu tahap lagi iaitu ‘jurulatih’.

Pengalaman penulis sebelum menyiapkan tugasan ini telah bertemu dengan ramai guru termasuk penulis sendiri yang masih mencari-cari identiti ‘guru’ itu sebenarnya. Perkara ‘melihat’ dan ‘merasa’ adalah dua perkara yang berbeza. Menjadi ‘pengerusi majlis’ dan menjadi ‘penonton’ juga dua perkara yang berbeza. Begitu juga halnya ‘teori’ dan ‘praktikal’. Kedua-dua perkara ini sebenarnya perlu dikuasai oleh guru bagi menjadikannya seorang guru yang berkualiti. Guru yang berkualiti bukan sahaja menjadi dambaan setiap murid, tetapi juga menjadi kebanggaan sekolah dan masyarakat.

Mungin agak mustahil untuk menguasai kepelbagaian bidang yang terlalu luas. Walau bagaimanpun, amatlah mendukacitakan jika seorang guru masih lagi kekok atau gugup apabila berkomunikasi di hadapan masyarakat umum ataupun dalam sesuatu mesyuarat sedangkan modal seorang guru adalah bercakap atau berkomunikasi setiap hari.


Selamat Hari Guru, Khususnya Guru-Guru Sk.Kiandongo.


Teringat aku akan pesan seorang guru:

Berdosa seorang guru jika anak muridnya keluar dari sekolah pada hari itu, tetapi tidak mendapat apa-apa dari seorang guru apa yang sepatutnya mereka dapat.


Ingatlah kata seorang cendikiawan:

Anakku tidak mendengar apa yang kau kata, tetapi akan melihat apa yang kau buat.



Khamis, Mei 14, 2009

Pertandingan Badminton


Menjelang sambutan Hari Guru, pertandingan badminton tertutup di kalangan para guru dan kakitangan sekolah bakal diadakan pada 20 dan 21 Mei 2009. Permainan yang diadakan secara beregu melibatkan 7 pasangan yang bakal bertarung sengit di Dewan Tongod.

Guru Berdaya Murid Berjaya

Sempena Hari Guru yang bakal menjelang 16 Mei 2009, SK Kiandongo telah merancang pelbagai aktiviti menarik sama ada melibatkan guru mahupun murid-murid di sekolah. Sesungguhnya melalui sambutan Hari Guru di sekolah ini yang dijangkakan sambutan pada 18 Mei 2009 bakal membuka lembaran baru kepada semua guru untuk terus ikhlas menabur bakti dengan menyedari peranan mereka dalam mendidik murid-murid adalah tanggungjawab dan amanah seluruh masyarakat. Keupayaan guru menghasilkan kualiti pengajaran yang baik mampu membawa kejayaan kepada murid-murid di sini. Guru-guru seharusnya tegar dan bersedia menghadapi cabaran yang mendatang kerana kita tidak mahu mendengar ungkapan "Guru kurang berupaya, Murid tidak bermaya"  bahkan apa yang perlu seorang guru martabatkan adalah "Guru berdaya, Murid Berjaya" . Selamat Hari Guru buat semua guru-guru SK Kiandongo.

Rabu, Mei 13, 2009

Minggu Peperiksaan

Setiausaha Peperiksaan SK Kiandongo, Cikgu Andrew Justine telah menetapkan tarikh peperiksaan pertengahan tahun 2009 adalah 12-15 Mei 2009. Tarikh ini dipilih disebabkan penganjuran Kejohanan Sukan Padang dan Balapan pada 26-28 Mei 2009. Semoga semua murid di sekolah ini dapat menghasilkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan ini nanti

Ahad, Mei 03, 2009

Kemarau Oh Kemarau

Suasana kegelisahan terpancar di semua riak wajah para guru dan murid di sini, apabila cuaca kemarau yang menyelubungi Daerah Telupid dan Tongod hampir sepanjang bulan April seakan-akan berterusan ke bulan berikutnya. Musim kemarau yang seperti kelaziman akan hadir setiap tahun khususnya bagi bulan April hinggal Julai. Perkembangan ini amatlah menakutkan kerana bekalan air bersih yang selama ini adalah bersumberkan daripada air hujan mula kehabisan. Keadaan ini menimbulkan rasa bimbang dan penuh keluh kesah kepada mereka yang tinggal berhampiran Kampung Kiandongo kerana air sungai yang berhampiran sudah tidak lagi sesuai diminum berikutan kewujudan Kilang Corak Nakhoda dan sikap penduduk yang mula mejadikan tanah mereka sebagai tempat penerokaan kelapa sawit. Semoga kemarau yang berpanjangan ini akan menemui noktahnya.

SK Kiandongo Tubuh Pengakap dan PBSMM

Selepas 2 dekad sekolah ini diwujudkan, seramai 49 orang murid tahap 2 telah menjadi kumpulan perintis bagi penubuhan Badan Beruniform Pengakap dan juga Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM).  Kewujudan kedua-dua unit beruniform adalah satu usaha dan inisiatif guru-guru lama dan baru bagi memupuk displin dan kepimpinan diri bagi setiap orang murid. Unit Beruniform Pengakap telah dipimpin oleh Cikgu Mohd Rashdan Hafiz sebagai Guru Penasihat manakala Cikgu Jemsan dan Cikgu Vincent telah diberi mandat dan kepercayaan sebagai tenaga pengajar bagi PBSMM. Diharap penubuhan kedua-dua unit beruniform akan menjadikan sekolah ini lebih berdaya saing dengan sekolah-sekolah rendah di sekitar pedalaman Telupid dan juga Daerah Tongod